1. Bersahaja Kekasih kita itu bersikap
bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara
percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak
dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya,
sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang
berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia
adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang bersama Walaupun kita selalu
bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada
diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira
dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali
apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin
berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit
kehilangan.
3. Terima kita seadanya Apapun kisah
silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu
perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga
tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita
sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia
tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga
sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah
bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa jujur Dia tidak kisah apa
yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang
dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan.
Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran
bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan,
kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak
jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia
jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan
kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya Mempercayai Setiap orang
mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat
mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin
memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang
berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari
dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia
kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak
berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta
sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang
memperoleh kedua-duanya.
6. Senang Bekerjasama Bagi kita yang
inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita
dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu
memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan
meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat
melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat
melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya
bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.
Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang
memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami diri kita Bagi pasangan
yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia
bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita
mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia
menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira
kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga
bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, ‘lidah sendiri
lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi
pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala
suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi
pasangan hidup kita.
8. Tampilkan kelemahan Tiada siapa yang
sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna
daripada segala sudut.Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan
tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu
menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.Sudah tentu bukan
senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah,
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia
bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita
daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat
buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata hati Dengarlah kata hati.
Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan
memahami perasaan pasangannya.Dengan deria batin ini juga kita dapat saling
tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara
satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia
ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya
pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Mimpi Jodoh dan pertemuan semuanya
di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya
ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai
pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi.Mimpi memang mainan tidur, tetapi
apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan
memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk.
Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia
dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan
hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di
akhirat adalah kekal selamanya. Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita..? “ Manusia
merancang, Allah menentukan..”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar